SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH
Mengimbau kembali sejarah Sekolah Menengah Pendeta Za’ba sebagai institusi Pendidikan Menengah bermula pada 1 Disember 1994 dirasmikan oleh Dato Haji Ahmad B Badawi yang pada ketika itu beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada peringkat awal penubuhan, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Taman Paroi Jaya, Seremban memandangkan ia terletak di kawasan perumahan Taman Paroi Jaya di mukmin Ampangan yang jauhnya kira-kira 8km dari bandar Seremban. Kedudukannya yang strategik dari segi kepesatan pembangunan projek-projek perumahan dan pembangunan insfrastruktur.
Sekolah ini merupakan projek sekolah pasang siap yang pertama di Negeri Sembilan dalam Rancangan Malaysia yang ke-6. Pembiayaannya adalah daripada pinjaman Bank Dunia ke-12. Keluasan tapak projek adalah 7 ekar, mengandungi 8 bangunan dari blok A hingga ke blok G serta sebuah kantin.Terdapat kemudahan 36 bilik kelas, pusat sumber dan perpustakaan, makmal sains, bilik komputer, bengkel sains dan pertanian serta kemudahan lain dengan bantuan dan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Kementerian Pendidikan khususnya.
Bermula dengan pelajar perintis 465 orang, meningkat menjadi 1198 orang pada tahun 2005. Di bawah pentadbiran mantan Pengetua Puan Hajjah Siti Rohani Bt Hj Shamsudin, bilangan tenaga pengajar meningkat daripada 27 orang perintis, manakala di bawah pimpinan pengetua ke-2 iaitu Puan rohanah bt Baharom bilangan guru telah meningkat kepada 84 orang dengan 16 orang kakitangan sokongan. Sekolah ini juga telah dipilih untuk melaksanakan Sistem Persekolahan Percubaan Satu Sesi dengan masa yang dipanjangkan pada tahun 1997. Disebabkan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, Kementerian Pendidikan telah menarik semula Percubaan tersebut.
Setelah beroperasi selama lebih kurang 5 tahun, peningkatan bilangan pelajar dan guru amat ketara sehinggalah sekolah ini terpaksa mengadakan dua sesi pada tahun 1999 dengan sesi petang di bawah penyeliaan Penyelia Petang, Puan Hajah Zainon Bt Husin. Pada tahun 2004, sekolah ini hanya mengadakan satu sesi pagi kerana pembukaan sekolah yang baru iaitu SMK Panchor dengan bilangan guru seramai 83 orang dan pelajar iaitu 1456 orang.
Pada tahun 2004 juga, sekolah telah mendapat dua bangunan tambahan yang baru iaitu Bangunan Pendidikan Khas dan Surau Sekolah yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Haji Mohammad bin Hassan pada 10 April 2004. Kecemerlangan SMKPZ terus terselah di bawah pentadbiran Encik Md Fiah b Md Jamin(16 September 2006-31 Mei 2007). Pada akhir tahun 2008, SMKPZ telah mendapat sebuah lagi kemudahan iaitu sebuah dewan besar yang diberi nama Dewan Seri Pendeta.
Tegaknya SMKPZ sebagai wadah perjuangan yang belum selesai untuk mendidik pelajar-pelajar tercinta pewaris watan. Perjuangan ke arahnya adalah perjuangan bersama dan sepakat warga SMKPZ. Adalah diharapkan SMKPZ akan menjadi sebuah institusi pendidikan yang unggul serta melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan menjadi kebanggaan seluruhnya. Kini berlandaskan matlamat yang sama terutama dalam mencipta kegemilangan, SMKPZ kini di bawah pengetua yang berwawasan tinggi iaitu Puan Ramona Bt Rosli.
Pintu gerbang SMK Pendeta Za,ba
No comments:
Post a Comment
SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA